Skip to main content

Nota Sejarah Penggal 1 Tema 2

Tema 2: Pemerintahan & Pentadbiran 


1.  Sejauhmanakah maharaja memainkan peranan penting dalam pemerintahan di negara China pada abad ke 16 hingga 20.
Pengenalan
            Negara China merupakan Negara yang mengamalkan raja dan monarki mutlak pada abad ke 16 sehingga akhir abad ke 20.  Sistem maharaja yang diamalkan ini memperlihatkan pemerintahan beraja mengikut amalan yang diguna pakai oleh masyarakat China.  Dalam masyarakat China, sistem maharaja menduduki hierarki teratas dalam struktur sosial dan merupakan kuasa penentu dalam pentadbiran kerajaan.
Isi
            Institusi beraja memperlihatkan kedudukan maharaja sangat penting dalam masyarakat China, mempunyai kuasa yang cukup besar serta merupakan perlambangan kedudukan kerajaan.  Pegangan konsep beraja ini menjadi penentu kepada maharaja dalam mempertahankan pemerintahannya.
            Kedudukan politik maharaja dilegitimasikan berdasarkan konsep mandate of haven atau mandat dari syurga.  Maharaja dikatakan sebagai wakil dari syurga atau “anak syurga” dan mendapat kuasa spiritual yang tidak terhingga.  Konsep ini juga menjelaskan bahawa maharaja dianugerahkan kuasa memerintah oleh tuhan.  Melalui konsep mandat dari syurga, maharaja menduduki hierarki teratas dalam susunan  masyarakat dan merupakan individu yang paling berkuasa dalam kerajaan.  Maharaja juga dianggap sebagai anak syurga yang diberi mandat untuk memerintah di atas muka bumi.
            Dalam bidang eksekutif, maharaja mempunyai kuasa untuk memutuskan dasar kerajaan, melantik dan melucutkan jawatan pegawai-pegawai kerajaan, serta mengurniakan gelaran.  Maharaja China berkuasa mutlak dalam melantik pegawai-pegawai mentadbir wilayah dan daerah yang menjalankan tugas di bawah arahannya.  Pentadbiran dan pemerintahan maharaja dilaksanakan melalui sistem berpusat, iaitu kuasa pentadbiran pusat berada di tangan maharaja yang seterusnya dipecahkan kepada beberapa unit, iaitu Sekretariat Agung, Majlis Tertinggi (6 Badan Menteri), dan Censorate (Lembaga Penapis).
            Bagi melicinkan pemerintahan, mahajara membahagikan pentadbiran kepada tiga fasa, iaitu pentadbiran awam, pentadbiran ketenteraan, dan pentadbiran tempatan di bawah badan pengawas.  Maharaja dibantu oleh Majlis Tertinggi yang menjadi badan penasihat utama dan terbahagi kepada enam kementerian, iaitu Kementerian Personal, Kementerian Kewangan, Kementerian Adat, Kementerian Perang, Kementerian Keadilan, dan Kementerian Kerja Raya.  Selain itu, demi memastikan amanah dan kesetiaan pembesar, maharaja turut menubuhkan Lembaga Penapis yang bertindak sebagai mata dan telinga kepada maharaja bagi memaklumkan segala aktiviti-aktiviti pembesar China.
            Seterusnya, pada peringkat wilayah pula maharaja Ming membahagikan empayarnya kepada 15 wilayah yang seterusnya dipecahkan kepada unit-unit tempatan yang lebih kecil.  Struktur organisasi pentadbiran pada peringkat wilayah ini diketuai oleh seorang pesuruhjaya yang dibantu oleh dua orang pegawai, iaitu hakim dan komander tentera wilayah.  Maharaja Ming juga menyerahkan urusan pemerintahan wilayahnya kepada pegawai awam, pegawai tentera, dan pegawai pengawas.  Selain itu, pentadbiran pegawai di daerah pula ditadbir urus oleh 6 orang menteri yang terdiri daripada Menteri Personal, Menteri Kewangan, Menteri Adat, Menteri Perang, Menteri Keadilan, dan Menteri Kerja-kerja Awam. Menteri tersebut akan dibantu oleh gabenor bagi setiap daerah, penyelia wilayah dan pegawai-pegawai tempatan.
            Namun begitu, Dinasti Ch’ing memperlihatkan pentadbiran wilayah diketuai oleh gabenor dan dibantu oleh pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja.  Pentadbiran ketenteraan berada di bawah ilmu ketua suruhanjaya tentera  yang mempunyai kuasa kawalan ke atas wilayah tertentu.  Malah, maharaja turut berperanan sebagai ketua tentera bagi seluruh empayarnya.  Hal ini dibuktikan melalui usaha maharaja untuk mempertahankan negara dari serangan luar dan meluaskan empayar pada awal kemunculan Dinasti Ming.
            Seterusnya, pemerintahan maharaja China adalah berkuasa mutlak dalam bidang perundangan.  Antara tugas maharaja ialah menggubal undang-undang, mengendalikan kes rayuan serta memberi pengampunan kepada seseorang yang didapati bersalah.  Sistem perundangan China melaksanakan hukuman secara kolektif dan seseorang itu dianggap bersalah sehingga terbukti dia tidak bersalah.
            Di samping itu juga, maharaja China menguasai segala sumber ekonomi negara seperti pungutan cukai, hasil bumi, perdagangan, dan sebagainya.  Hal ini diperkuatkan lagi dengan pengiktirafan tanah sebagai hak maharaja.  Maharaja memainkan peranan penting dalam urusan dasar luar Negara.  Dasar pemerintahan maharaja ini membawa kepada peluasan perdagangan dan perkembangan ilmu Barat di China.  Ini dapat dilihat melalui dasar keterbukaan semasa Dinasti Ming yang membenarkan kuasa Barat masuk berdagang di China.  Semasa pemerintahan Dinasti Ch’ing, iaitu pada abad ke 19 dan awal abad ke 20, Maharaja China menjalankan dasar tutup pintu atau konsep pengasingan.  Hal ini jelas menunjukkan peranan maharaja dalam menentukan dasar luar  negara.
            Maharaja juga berkuasa dalam bidang keagamaan.  Dalam bidang keagamaan, maharaja merupakan ketua agama dan melantik ketua-ketua agama bagi mengendalikan hal ehwal keagamaan di China.  Baginda juga mengetahui semua upacara pemujaan yang diadakan di dalam negara. 
            Peranan maharaja dalam bidang intelektual pula adalah penaung dalam bidang pembelajaran dan memberi bantuan kewangan kepada golongan intelektual yang terlibat dalam menyelenggarakan serta menerbitkan kitab dan ensiklopedia.  Baginda turut terlibat dalam perkembangan ilmu pengetahuan dengan memberi  ceramah kepada pelajar-pelajar yang menuntut di Kolej Imperial.  Malah, maharaja juga mengarahkan pengendalian peperiksaan awam serta terlibat dalam pemilihan calon dalam peperiksaan awam di peringkat kebangsaan.
Kesimpulan
            Kesimpulannya, Maharaja China berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pemerintah yang  berkuasa sehinggalah kepada Perang Candu Pertama yang menyaksikan kekalahan pihak China dengan British. Keterpaksaan menandatangani perjanjian-perjanjian telah membawa padah kepada sistem kemaharajaan China.  Segala pembaharuan yang dilakukan untuk menaikkan imej kemaharajaan hanya menemui kegagalan dan akhirnya sistem beraja China selama 267 tahun ditumbangkan dalam Revolusi 1911 di China.
2.  Raja Louis XIV(1643-1715 )melaksanakan pemerintahan monarki di Perancis dengan mengukuhkan dasar dalam negara semasa pemerintahannnya.Bincangkan.
Pengenalan
Raja Louis XIV ditabal sebagai pemerintah Perancis pada tahun 1643. Memerintah selama 72tahun dan menjalankan pemerintahan secara mutlak. Baginda mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan pemerintahan monarki iaitu menjalankan dasar dalam negara untuk mengukuhkan pemerintahan monarki.
Isi
Dasar Dalam Negara
Raja Louis XIV menjalankan dasar pentadbiran yang membawa keamanan Perancis dengan  memperkenalkan pelbagai langkah untuk menyusun semula pentadbiran. Antara lainnya , baginda memperkenalkan 4 majlis utama iaitu Majlis Negara, Majlis Despatches, Majlis Kewangan dan Majlis Privy.  Majlis Negara berperanan menguruskan hal ehwal luar negara.  Majlis Despatches mengurus semua hal ehwal tempatan kecuali kewangan,  Majlis Kewangan mengurus hal percukaian, tarif, perbelanjaan dan pendapatan Negara dan  Majlis Privy berperanan dalam menguruskan bidang pentadbiran keadilan.
Baginda juga mengukuhkan pengurusan pentadbiran dengan melantik menteri berkebolehan seperti Colbert sebagai Menteri Kewangan, Louvois sebagai menteri Penerangan dan Vauban sebagai Menteri Ketenteraaan. Selain itu baginda  menggunakan khidmat pegawai berkebolehan bagi mengukuhkan kuasa di provinsi bagi melaksanakan dasar-dasar diraja di pelbagai provinsi
Dasar Ekonomi
Raja Louis XIV telah melaksanakan  dasar ekonomi merkantilisme untuk mengukuhkan
kedudukan negaranya.  Baginda memperkenalkan dan  memulakan industri baru, memansuhkan tarif tempatan, mengawal harga barang serta berusaha membina gudang senjata  di Toulan. Malah baginda juga mengadakan perhentian dagang di India, Senegal dan Madagascar untuk menggalakan perdagangan antarabangsa dan meningkatkan perdagangan Perancis. Selain itu baginda menggunakan pelbagai sekatan untuk meningkatkan industri tempatan contohnya, mengenakan bayaran tarif yang tinggi kepada barangan asing serta  cukai yang tinggi kepada kapal asing yang menggunakan pelabuhan Perancis. Baginda memberi bantuan kewangan kepada industri perkapalan Perancis yang menjalankan perdagangan.
Dasar Ketenteraan
Raja Louis XIV juga mengukuhkan kuasa monarki dengan menjalankan dasar ketenteraan. Antara lainnya baginda melakukan pembaharuan dan mengawal bidang ketenteraan seperti langkah  menghapus dominasi golongan bangsawan dalam bidang ketenteraan, meletakkan tentera dalam kawalan baginda dan melantik pegawai-pegawai tentera berasaskan merit. Untuk menarik kesetiaan golongan tentera baginda menambahbaik ketenteraan dengan merekrut anggota tentera dan menyediakan kemudahan seperti perumahan dan bekalan makanan. Kesannya  tentera Perancis muncul sebagai pasukan tentera yang terkuat di Eropah
Dasar Agama
Dasar lain yang diamalkan oleh Raja Louis XIV untuk mengukuhkan kekuasaan monarki adalah memaksa golongan Huguenot menerima agama Katolik. Baginda telah membatalkan Edict of  Nantes yang memberi kebebasan beragama  kepada golongan Huguenot pada 1685. Hal ini  menyebabkan seramai 200 ribu orang orang Huguenot meninggalkan Perancis
Dasar Luar
Melalui dasar luar Raja Louis IXV melakukan dasar perluasan kuasa dan berjaya meluaskan wilayah Perancis hingga ke perbatasan Sungai Rhine. Baginda menguasai wilayah-wilayah yang diperintah oleh putera-putera Jerman, Belguim dan Belanda
Kesimpulan
Raja Louis XIV mengukuhkan pemerintahan monarkinya bukan sahaja melalui dasar dalam negara tetapi melalui dasar lain seperti dasar ekonomi, dasar ketenteraan dan dasar agama.Semua dasar yang dijalankan berjaya mengukuhkan kedudukan sistem tersebut. Kesannya Perancis muncul sebagai negara yang kuat dan berpengaruh di Eropah.
  1. Amerika Syarikat mengamalkan sistem pemerintahan persekutuan .  Bincangkan pernyataan di atas  dalam konteks pemerintahan persekutuan di Amerika Syarikat.
Pengenalan
            Persekutuan ialah gabungan beberapa buah wilayah atau negeri yang dahulunya bebas tetapi menjadi negara bersekutu di bawah satu perlembagaan pusat.Pemerintahan persekuatuan merupakan satu bentuk pemerintahan yang membahagikan kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan tempatan.  Kerajaan pusat dan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa masing-masing.  Pada 4 Julai 1776, kongres dalam persidangan yang diadakan di Philadelphia melulusakan Pengisytiharan Kemerdekaan. Pengisytiharan Kemerdekaan ini telah ditulis oleh Thomas Jefferson. Melalui pengisytiharan ini, 13 buah koloni digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang merdeka.            
Isi-isi penting
     Di dalam sistem pentadbiran di Amerika Syarikat, kuasa kerajaan dibahagikan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Setiap kerajaan ini mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam perkara-perkara tertentu. Pada awalnya, Artikal Persekutuan yang digubal selepas Amerika Syarikat bebas daripada British menjadi panduan dalam pembentukan negara Amerika Syarikat. Malangnya, artikal ini tidak mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat. Hal ini berpunca daripada pembahagian kuasa yang sedikit kepada kerajaan persekutuan. Secara tidak langsung kekurangan ini menjadikan Amerika Syarikat sebuah negara yang lemah dan tidak mampu untuk menjalankan projek-projek pembangunan di samping tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Kerajaan persekutuan terpaksa bergantung kepada sumbangan kerajaan negeri sebagai sumber ekonomi. Pada peringkat ini juga, kerajaan persekutuan tidak dibenarkan membentuk sistem perdagangan dengan negeri-negeri atau negara lain.
      Oleh yang demikian, Konvensyen Philadelphia 1787 telah diadakan bagi membincangkan tentang kuasa yang akan diberikan kepada kerajaan pusat. Dari sini terbentuknya Perlembagaan Amerika. Perlembagaan ini memperuntukkan perkara-perkara penting seperti dasar dasar luar negeri, pertahanan, cukai, dan mata wang dikuasai oleh kerajaan pusat, member kebebasan kepada negeri-negeri menggubal undang-undang berkaitan adat dan budaya tempatan serta member kuasa yang lebih besar kepada kerajaan persekutuan. Manakala, perlembagaan memperuntukkan hal-hal tempatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing. Menjelang tahun 1788, Sembilan buah negeri telah mengesahkan perlembagaan tersebut. Namun, oleh kerana pengaruh pihak antifederal, negeri New York masih belum dapat mengesahkan perlembagaan tersebut. Dengan hasil usaha golongan federalis seperti Alexander Hamilton, John Jay, dan James Madison menerusi penerbitan buku, The Federalis. Akhirnya, New York mengesahkan untuk menyokong Perlembagaan Amerika.
       Perlembaan Amerika juga menggariskan badan-badan memerintah negara bagi melindungi negara dari sebarang unsure-unsur authoritarian dan radikal. Perlembagaan telah menggariskan bahawa struktur kerajaan terdiri daripada tiga bahagia, iaitu Eksekutif, Perundangan, dan Kehakiman. Kuasa Eksekutif diteraju oleh Presiden. Presiden dipilih untuk tempoh empat tahun. Selepas empat tahun,Presiden boleh dilantik semula untuk penggal kedua selama empat tahun.
     Badan perundangan, iaitu Kongres terdiri daripada Dewan Senat dan Dewan Perwakilan. Kongres berfungsi utk mengimbangi kuasa Presiden yang memiliki kuasa veto. Presiden Amerika Syarikat boleh membatalkan undang-undang melalui kuasa veto dan mengawasi Kongres. Namun melalui dua pertiga undi Kongres, kedua-dua dewan dapat mengatasi kuasa veto Presiden. Ahli Dewan Senat dan Dewan Perwakilan dipilih oleh rakyat.
        Badan Kehakiman terdiri daripada Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah lain. Badan ini merupakan badan yang bebas. Mahkamah boleh mengambil tindakan terhadap Presiden sekiranya Presiden melanggar perlembagaan.
       Pilihan raya pertama bagi Amerika Syarikat diadakan pada 4 November 1789 dan dalam pilihan raya tersebut, George Washington telah dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pertama.
Kesimpulan
       Pembentukan kerajaan persekutuan di Amerika Syarikat dilihat sebagai salah satu cara yang paling berkesan untuk menggabungkan negeri-negeri yang pernah menjadi koloni British.  Kerajaan Persekutuan dilihat memberi kuasa yang lebih banyak kepada rakyat dan pada masa yang sama, hak dan kebebasan peribadi rakyat tidak diusik.  Sekaligus, ini membantu Amerika Syarikat untuk muncul sebagai kuasa besar dunia. 


Comments

Popular posts from this blog

Murtad .apakah murtad sebenarnya?

Sunting Pantau laman ini Murtad dalam Islam Sebahagian daripada  siri  berkaitan Islam Rukun Iman Allah  •   Kitab  •   Malaikat  •   Nabi Hari Akhirat  •   Qada dan Qadar Rukun Islam Syahadah  •   Solat  •   Puasa Zakat  •   Haji Kota Suci Makkah  •   Madinah Baitulmuqaddis Hari Raya Aidilfitri  •   Aidiladha Hukum Al-Quran  •   Sunnah  •   Hadis Sejarah Garis Masa Sejarah Islam Khulafa al-Rasyidin Khalifah  •   Khilafah Tokoh Islam Nabi Muhammad s.a.w Ahlul Bait  •   Sahabat Nabi Mazhab Ahli Sunah Waljamaah Hanafi  •   Syafie Maliki  •   Hanbali Budaya  Dan  Masyarakat Akademik  •   Haiwan  •   Seni Takwim  •   Kanak-kanak Demografi  •   Perayaan Masjid  •   Dakwah  •   Falsafah Sains  •   Wanita  •   Politik Lihat juga Kritikan  •  Islamofobia Glosari Portal Islam p   b   s Murtad dalam Islam  ( Bahasa Arab : ارتداد,  irtidād  atau  ridda ) umumnya ditakrifkan dalam  Islam  sebagai penolakan dalam kata atau perbuatan bekas agama mereka ( murtad ) oleh orang yang terdahulu pengikut I

Bahaya Menggunakan Rokok Elektrik Atau Vaping Bagi Kesehatan Tubuh

Bahaya Menggunakan Rokok Elektrik Atau Vaping  - Zaman yang sudah semakin canggih membuat para perokok beralih menggunakan rokok elektrik. Rokok elektrik adalah sejenis alat yang digunakan untuk memanaskan suatu cairan tertentu sesuai rasa favorit penggunanya. Cairan yang digunakan untuk dipanaskan tersebut ternyata juga mengandung nikotin seperti rokok biasa. Dengan melakukan penelitian, rokok elektrik juga mengandung karsinogenik yaitu zat yang memicu  kanker . Vaping atau menggunakan rokok elektrik bahkan menimbulkan asap yang lebih banyak. Selain dapat merusak lapisan ozon, asap dari rokok elektrik ini juga dapat menimbulkan ketidaknyamanan bagi orang orang disekitarnya. Meskipun begitu, masih banyak yang beranggapan bahwa rokok elektrik tidak berbahaya seperti rokok biasa. Apabila rokok memilik banyak brand atau merk, lain halnya dengan rokok elektrik. Rokok elektrik memiliki banyak jenis dan juga memiliki bentuk yang berbeda beda. Mulai dari bentuk yang sederhana hingga bentuk ya

TARIKH PENTING PERMOHONAN KE PROGRAM KPLSPM SESI 2015

Alhamdulillah terima kasih diucapkan kepada En ismayuddin di atas perkongsian ini . TQVM http://www.moe.gov.my